Kuala Lumpur, Nov-
Mahkamah Tinggi memerintah polis melengkapkan siasatan lama tertangguh ke atas kematian Teoh Beng Hock yang meninggal dunia lebih 15 tahun lalu.
Hakim Wan Ahmad Farid Wan Salleh memerintahkan polis melengkapkan siasatan ke atas kematian bekas setiausaha politik itu dalam tempoh enam bulan dari hari ini menerusi prosiding semakan kehakiman oleh keluarga Teoh dua tahun lalu.
Keluarga itu memohon pengisytiharan bahawa kegagalan polis melengkapkan siasatan kematian Teoh dalam tempoh munasabah adalah pelanggaran undang-undang biasa dan kewajipan statutori.
Wan Farid berkata, permohonan keluarga itu bukan untuk menghalang siasatan polis ke atas kematian Teoh.
“Perlu ada penutupan dan muktamad buat segala-galanya. Ibu bapanya berhak mendapat keadilan.”
Hakim mendapati polis pada 2019 memulakan siasatan di bawah Seksyen 342 Kanun Keseksaan kerana mengurung secara salah.
Sebelum 2018, dua pasukan penyiasat khas ditubuhkan – pada 2011 dan 2015 – untuk menyiasat kematian Teoh, tetapi kedua-dua kes diklasifikasikan tiada tindakan lanjut (NFA) oleh pendakwa raya.
“Kertas siasatan di bawah Seksyen 342 Kanun Keseksaan berulang-alik lapan kali antara polis dan pendakwa raya. Sehingga 2023, polis masih menyiasat kes itu mengikut arahan lanjut pendakwa raya.”
Wan Farid berkata, siasatan ke atas kurungan secara salah bukan “sains roket”.
“Lebih lima tahun sejak IP (kertas siasatan) dibuka. Kelewatan (dalam menyiasat kes Teoh) keterlaluan, ia tidak boleh dilakukan dengan cara ini.”
Teoh meninggal dunia di tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam pada 16 Julai 2009 selepas disoal siasat berjam-jam oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Mahkamah Koroner Shah Alam pada 5 Jan 2011 memutuskan kematian Teoh bukan kerana membunuh diri atau dibunuh dan tiada pihak ketiga terbabit dalam kematiannya.
Tetapi, Mahkamah Rayuan pada 2014 menukar keputusan terbuka itu dengan memutuskan kematiannya disebabkan “seorang atau beberapa individu tidak dikenali”, termasuk pegawai SPRM.
Peguam Ramkarpal Singh mewakili keluarga Teoh, manakala peguam persekutuan Muhairi Mohamed Noh mewakili polis. Fmt


