Ipoh, Jun-
Seorang penunggang motosikal maut akibat tertimbus oleh timbunan tar yang dibawa sebuah treler, selepas muatan tar itu terjatuh daripada treler berkenaan apabila kenderaan berat itu terbabas di Kilometer 4 Jalan Tanjung Tualang-Malim Nawar dekat Kampar malam tadi.
Kejadian berlaku semasa Hanapiah Ismail, 59, yang dalam perjalanan dari arah Tanjung Tualang ke Kampar sedang menunggang motosikalnya, kira-kira 10 meter di belakang treler yang membawa muatan tar itu kira-kira pukul 7.30 malam.
Ketua Polis Daerah Kampar Supt Mohamad Nazri Daud berkata ketika sampai di lokasi kejadian, penyambung muatan treler yang dipandu seorang lelaki berusia 48 tahun itu mengalami kerosakan, dan treler itu hilang kawalan sebelum terbabas.
“Ia mengakibatkan muatan yang dibawa terbalik di atas jalan dan menimbus penunggang motosikal yang berada di belakang kenderaan berat itu,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Beliau berkata pemandu treler itu tidak mengalami sebarang kecederaan, dan mayat Hanapiah, yang merupakan penghulu Mukim Teja telah dibawa ke Hospital Kampar untuk bedah siasat.


