Batu Pahat, Jan-
Lelaki warga Bangladesh dipenjara 26 bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Yong Peng hari ini, terhadap tiga pertuduhan termasuk memukul dan merosakkan 20 anak pokok, minggu lalu.
Tertuduh, Rofiq, 25, membuat pengakuan itu terhadap pertuduhan yang dikemukakan menerusi jurubahasa Bangladesh di hadapan Majistret Arun Noval Dass.
Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap lelaki berusia 33 tahun di Jalan Labis-Yong Peng, pada jam 10 malam 7 Disember lalu.
Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara setahun atau denda atau kedua-duanya.
Pertuduhan kedua, dia didakwa membuat ugutan jenayah hingga mendatangkan ketakutan dan didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dengan kejadian ini berlaku pada tarikh dan waktu sama.
Bagi pertuduhan ketiga, dia melakukan khianat dengan merosakkan 20 anak pokok milik syarikat tempat tertuduh bekerja di Jalan Yong Peng, pada jam 12 tengah hari, 8 Disember lalu.


