Kuala Lumpur, Apl-
Pengasas rangkaian kedai runcit, 99 Speed Mart, Lee Thiam Wah muncul sebagai antara 19 rakyat Malaysia tersenarai dalam Senarai Bilionair Forbes 2025.
Thiam Wah, 61, mencipta kejutan apabila berjaya menembusi senarai bilionair apabila disenaraikan sebagai individu keempat terkaya di Malaysia dengan nilai bersih sebanyak AS$3.7 bilion (RM17.6 bilion).
Pada 9 September 2024, 99 Speed Mart telah disenaraikan di Bursa Malaysia dengan harga penyenaraian awam permulaan (IPO) RM1.65 sebelum saham syarikat itu melonjak hampir 50 peratus menjelang akhir tahun, sekali gus menutup tahun pada harga RM2.47 dengan nilai pasaran mencecah RM20.7 bilion.
Thiam Wah membuka kedai pertama beliau pada tahun 1987 di bandar pelabuhan Klang, sebelum menjualnya dan menubuhkan rangkaian Pasar Mini 99 pada tahun 1992.
Pada tahun 2000, beliau menggabungkan rangkaian kedainya yang semakin berkembang di bawah jenama 99 Speedmart, yang kini berkembang dengan hampir 2,700 cawangan.


