Subang Jaya, Apr-
Sejumlah 30 ekor kucing dan lima ekor anjing peliharaan penduduk terjejas di kawasan perumahan Jalan Putra Harmoni, Putra Heights berjaya diselamatkan sejak Selasa.
Pengurus besar Persatuan Mencegah Kezaliman Terhadap Haiwan (SPCA) Selangor, Kelvin Chia ketika ditemui Astro AWANI memberitahu, kesemua haiwan peliharaan itu masih dalam proses mendapatkan rawatan.
“Kalau ikutkan masih banyak haiwan peliharaan yang terkandas di dalam kawasan perumahan terjejas.
“Ini kerana sebanyak 157 keluarga yang terjejas, 40 peratus daripada mereka mempunyai haiwan peliharaan. Lebih kurang 60 keluarga ada kucing atau anjing di rumah mereka,” katanya.
Tambah Kelvin, pihaknya menyediakan bekalan makanan, sangkar dan ubat-ubatan untuk memastikan haiwan yang diselamatkan pulih sepenuhnya sebelum diserahkan semula kepada pemilik.


