Putrajaya, Feb-
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) membuka satu kertas siasatan integriti berhubung penemuan 12 keping pasport yang ditemui bersama pegawai jabatan itu di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), baru-baru ini.
Mengesahkan kejadian itu, Ketua Pengarah JIM, Datuk Zakaria Shaaban berkata, pihaknya telah menemui 12 keping pasport asing pada badan seorang pegawai JIM di Pejabat Operasi Terminal 2 KLIA pada 1 Januari lalu.
Beliau berkata, laporan polis telah dibuat pada 7 Januari dan ia diklasifikasikan sebagai tindakan jabatan.
“Pihak jabatan telah bertindak menukarkan pegawai terbabit ke Depot Imigresen KLIA sementara siasatan integriti dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Walau bagaimanapun kata beliau, pegawai terbabit tidak hadir melaporkan diri ke tempat bertugas baharu sehingga kini.
Menurut beliau, proses siasatan integriti masih dilaksanakan oleh Bahagian Integriti JIM KLIA.
Tegas beliau, JIM tidak akan berkompromi serta melindungi mana-mana pegawai yang melakukan pelanggaran integriti yang mencemarkan nama baik dan imej jabatan.


