Kuala Lumpur, Apr.
Polis menahan seorang lelaki kerana disyaki merosakkan patung di sebuah tokong di Kampung Koh di Manjung, Perak semalam.
Ketua Polis Manjung Mohamed Nordin Abdullah berkata, suspek lelaki berusia 35 tahun dan bekerja sebagai pemandu lori itu ditahan di Taiping, pada 9.30 malam tadi.
Katanya, polis menerima aduan dari seorang lelaki berhubung rakaman video tular di media sosial memaparkan seorang suspek merosakkan peralatan tokong pada hari yang sama.
“Kami menahan suspek di tempat kerjanya dan merampas telefon bimbit yang dipercayai digunakan untuk merakamkan video kejadian itu,” katanya dalam satu kenyataan.
Nordin berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana membencana atau mencemarkan tempat sembahyang dengan niat hendak mengaibkan agama mana-mana golongan yang boleh dihukum dengan penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Katanya, kes turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 bagi kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian, jika disabitkan kesalahan boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya sekali.
Beliau juga menasihatkan orang ramai agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang menyentuh sentimen isu 3R (raja, agama dan kaum) dan membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.