Kuala Lumpur, Apr-
Presiden China, Xi Jinping diberi sambutan negara di Istana Negara hari ini sempena Lawatan Negara selama tiga hari bermula semalam atas jemputan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Sultan Ibrahim berkenan menyambut ketibaan Xi pada 10.30 pagi.
Turut hadir Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta Menteri-Menteri Kabinet.
Istiadat sambutan di Dataran Kawad Istana Negara dimulakan dengan persembahan lagu kebangsaan kedua-dua negara oleh Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja disusuli tembakan meriam 21 das daripada 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja.
Presiden China itu kemudian memeriksa Kawalan Kehormatan Utama (KKU) membabitkan empat pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Kem Perdana Sungai Besi, diketuai Mejar Mohamad Waqiyudin Abd Rahman.
Selesai acara itu, Xi kemudian disambut dengan persembahan tarian selamat datang oleh Jabatan Kebudayaan Dan Kesenian Negara sebagai simbolik penghormatan atas kehadiran Presiden China itu di Istana Negara.
Seri Paduka Baginda kemudian berkenan mengadakan pertemuan bersama Xi serta delegasi China selain menyaksikan majlis persembahan cendera kenangan di Dewan Seri Maharaja.
Xi bersama delegasi turut diraikan serta diberi penghormatan pada Majlis Jamuan Negara dengan keberangkatan bersama Yang di-Pertuan Agong di Dewan Santapan Utama.


