Sepang, Julai-
Pasangan kekasih berusia 19 tahun didakwa di Mahkamah Majistret masing-masing atas dakwaan bersubahat dan membunuh seorang penuntut Universiti Cyberjaya, dua minggu lalu.
Penganggur, M. Sri Darvien dan pasangan D. Thineswary mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Khairatul Animah Jelani.
Tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh kerana kes bunuh bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.Mengikut pertuduhan, tertuduh pertama Darvien didakwa membunuh Maniishapriet Kaur Akhara, 20, di Blok A, Mutiara Villa, Persiaran Multimedia antara 9.11 malam hingga 11.31 malam pada 23 Jun lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan sebatan tidak kurang 12 kali jika sabit kesalahan.
Manakala, Thineswary didakwa bersubahat dengan Darvien untuk melakukan pembunuhan terhadap mangsa pada 12.30 tengah hari di lokasi dan tarikh sama.
Wanita itu didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 302 kanun sama.
Tiada jaminan diberikan dan mahkamah menetapkan 11 Sept ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen bedah siasat dan laporan kimia.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin manakala Darvien diwakili peguam M. Manoharan dan peguam Abu Bakar Isa Ramat mewakili Thineswary.
Sebelum ini, penuntut ijazah sarjana muda fisioterapi berasal dari Sarawak itu ditemukan mati di sebuah unit kondominium di Cyberjaya pada 10 pagi, 24 Jun lalu.