Hulu Selangor,Jun-
Seorang nenek bersama cucu perempuan berusia 12 tahun dilaporkan hilang dipercayai tersesat di Bukit Buluh Telur, Kuala Kubu Bharu, di sini,semalam.
Berikutan itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) kedua-dua mangsa.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang wanita 62 tahun bersama cucu perempuannya berusia 12 tahun yang dilaporkan hilang, dipercayai tersesat di Bukit Buluh Telur, Kuala Kubu Bharu, di sini, diteruskan pagi ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, berkata operasi yang ditangguhkan pada jam 7.20 malam tadi, disambung jam 8.30 pagi ini.
“Setakat ini, kedua-dua individu itu masih belum dijumpai,” katanya ringkas ketika dihubungi, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan JBPM Selangor menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 3.12 petang semalam sebelum sepasukan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu digerakkan ke lokasi.
Menurut laporan awal, wanita dan cucunya itu dipercayai ke kebun durian mereka sebelum wanita warga emas berkenaan menghubungi anak sulungnya kira-kira jam 12 tengah hari untuk memaklumkan mereka sesat.
Anak mangsa kemudian membuat laporan kehilangan ahli keluarganya pada jam 3 petang.


