Putrajaya, Mac-
Nama Muhammad, Abdullah, Abdul, Nur, Siti, dan Nurul menjadi nama yang paling banyak didaftarkan dalam rekod Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) setakat ini.
Ketua Pengarah JPN, Badrul Hisham Alias berkata nama-nama itu sering menjadi pilihan ibu bapa kerana ia secara tidak langsung melambangkan identiti Islam dan bangsa Melayu.
“Lazimnya, ibu bapa akan mendapatkan nama daripada sumber rujukan seperti buku nama bayi, laman web keibubapaan, al-Quran, hadis serta pakar bahasa sebelum membuat keputusan,” katanya kepada Bernama.
Badrul Hisham berkata trend pada masa ini menunjukkan ibu bapa cenderung menamakan anak mereka dengan nama yang bukan sahaja sedap disebut dan mudah diingat, tetapi juga membawa makna indah dan positif.
Katanya, nama berunsur Islamik dan Arab seperti Aisyah, Maryam dan Rayyan juga masih menjadi pilihan utama ibu bapa kini kerana ia membawa maksud yang baik.
Selain itu, beliau berkata ejaan nama turut mengalami perubahan dengan nama-nama klasik, seperti Amir dieja sebagai Ameer atau Zahra sebagai Zara untuk tampak lebih moden.
Dalam pada itu, beliau berkata dalam rekod JPN, nama terpanjang mengandungi 15 patah perkataan manakala nama paling pendek pula hanya mengandungi dua abjad.


