Kuala Lumpur, Nov-
Situasi banjir di seluruh negara terus menunjukkan peningkatan. Setakat pukul 12 tengah hari, seramai 34,289 mangsa daripada 11,547 keluarga direkodkan berada di 220 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di tujuh negeri.
Menurut Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC), Kelantan kekal mencatat jumlah tertinggi dengan 10,907 mangsa yang ditempatkan di 66 PPS. Daerah Tumpat merekodkan angka terbesar iaitu 4,421 mangsa, diikuti Kota Bharu (2,420) dan Bachok (2,051).
Perlis pula merekodkan 7,270 mangsa, sekali gus menjadi negeri kedua paling terjejas, dengan kesemua mangsa ditempatkan di 24 PPS yang kini menunjukkan tren meningkat.
Perak turut mencatat peningkatan kepada 5,313 mangsa, terutama di Manjung, Perak Tengah dan Hilir Perak.
Di Kedah, seramai 4,270 mangsa direkodkan melibatkan tiga daerah utama (Kota Setar, Kubang Pasu dan Pokok Sena) manakala Terengganu melibatkan 4,013 mangsa apabila beberapa daerah seperti Setiu, Kuala Terengganu serta Dungun menunjukkan pertambahan bilangan mangsa.
Selangor turut melonjak kepada 2,497 mangsa, dengan Kuala Selangor mencatat jumlah tertinggi iaitu 2,210 mangsa.




