Hulu Selangor, Jun-
Misteri kehilangan seorang lelaki sejak minggu lalu, akhirnya terungkai apabila mayatnya ditemukan dalam semak di tepi jalan besar FELDA Soeharto, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.15 pagi, mayat mangsa berusia 57 tahun ditemui bersebelahan motosikal Honda EX5.
Difahamkan, lelaki terbabit keluar dari rumahnya di Taman Sentosa, Klang dipercayai mahu membeli rokok sebelum kehilangannya disedari anak lelaki berusia 29 tahun.
Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintendan Mohd Asri Mohd Yunus, berkata pengadu membuat laporan berhubung kejadian itu pada 9 Jun lalu di Balai Polis Klang.Pada masa sama katanya, motosikal Honda EX5 ditunggang mangsa adalah milik pengadu.
“Siasatan mendapati motosikal ditunggang lelaki terbabit disyaki terbabas semasa melalui jalan besar FELDA Soeharto.
“Penunggang motosikal itu meninggal dunia di lokasi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mohd Asri berkata, hasil temubual waris dan penduduk setempat mendapati mangsa tidak dapat dipastikan hendak ke mana kerana tidak mempunyai saudara atau rakan di tempat kejadian.


