Kuala Lumpur, May-
Imigresen menjangkakan ketibaan pekerja asing akan ‘membanjiri’ Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan 2, menjelang tarikh akhir pengambilan mereka menjelang 31 Mei.
Ketua Pengarah Imigresen Ruslin Jusoh, berkata bilangan itu akan terus meningkat sehingga esok berdasarkan makluman syarikat penerbangan yang akan meningkatkan jumlah penerbangan pekerja asing bagi memenuhi permintaan.
Beliau berkata, sebagai perbandingan sebelum ini, ketibaan harian pekerja asing adalah di antara 500 hingga 1,000 sehari.
“Bilangan ketibaan mula meningkat sehingga 2500 orang sehari pada 22 Mei lalu dan seterusnya pada 27 Mei lalu telah meningkat sehingga 4,000 hingga 4,500 sehari,” katanya dalam kenyataan.
Ruslin Jusoh berkata demikian merujuk situasi terkini ketibaan pekerja asing yang tinggi di pintu masuk negara itu.
Sebelum ini dilaporkan, esok merupakan tarikh akhir pengambilan pekerja asing menerusi Program Rekalibrasi Tenaga Kerja 2.0.
