Kuala Lumpur, Feb-
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim digesa campur tangan bagi menangguhkan pelaksanaan hukuman mati ke atas seorang rakyat negara ini yang akan dilaksanakan di Singapura, Khamis ini.
Gesaan itu dikemukakan Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh, yang mewakili tiga lagi wakil rakyat, masing-masing Wong Chen (Subang); Syerleena Abdul Rashid (Bukit Bendera) dan P. Prabakaran (Batu).
Bercakap pada sidang media di Parlimen hari ini, Ramkarpal berharap, Pannir Selvam Paranthaman, 30, dibenarkan kembali ke Malaysia untuk menjalani hukuman penjara sambil membantu siasatan kes membabitkannya.
Beliau berkata, keluarga Pannir sudah membuat laporan polis berhubung maklumat mengenai seorang perekrut dari Malaysia, pada 12 Februari lalu, selain mahu mengetahui perkembangan siasatan kes terbabit.
Selepas 10 tahun menunggu, katanya, keluarga Pannir akhirnya menerima pengesahan daripada polis mengenai kertas siasatan itu sudah dibuka dan pegawai penyiasat telah dilantik.
“Bagaimanapun, mereka menerima notis pelaksanaan hukuman mati yang dijadual dilakukan Khamis ini, semalam.”Kami berharap Pannir akan dibenarkan kembali ke Malaysia untuk menjalani hukuman sambil memberikan maklumat bagi membantu siasatan.
“Kami berpendapat Pannir hanyalah keldai dadah dan tidak sepatutnya dihukum gantung, sedangkan anggota sindiket dadah masih bebas dan berkemungkinan sedang menyusun strategi baharu untuk memperdaya rakyat Malaysia yang tidak menyedari kandungan bungkusan dibawa mereka,” katanya.
Pada 2017, Pannir disabitkan bersalah di mahkamah Singapura kerana bertindak sebagai penghantar dadah dengan membawa 51.84 gram heroin ke negara itu, kesalahan yang membawa hukuman mati mandatori.
Dia ditahan di pos pemeriksaan Woodlands, pada 3 September 2014.Ramkarpal berkata, kerajaan wajar berbuat demikian memandangkan Pannir memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa Malaysia dan Singapura, selain kedua-dua negara diharap tidak meneruskan hukuman mati ke atasnya.