Dua lelaki maut manakala empat lagi cedera parah dalam kemalangan membabitkan sebuah Proton Saga yang terbabas di Putrajaya, tengah hari tadi.
Penolong Pengarah Operasi Bomba Putrajaya M Haziq Hazmi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 11.58 pagi sebelum sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Presint 14 bersama pasukan EMRS dikejarkan ke lokasi kejadian di Presint 1 menghala ke Taman Wetland, Presint 12.
Menurutnya, setibanya di lokasi pada 12.07 tengah hari, pasukan mendapati sebuah Proton Saga terbabas sebelum merempuh sebatang pokok di tepi jalan, dengan beberapa mangsa tercampak keluar dari kenderaan akibat impak kemalangan.
“Enam mangsa terlibat dalam kejadian tersebut dan dua lelaki disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya menerusi hantaran Facebook Bomba Putrajaya, lapor Bernama.
Empat mangsa lain yang cedera parah dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut, tambahnya.




