Kuala Lumpur, Mei –
Tiga beradik yang menjadi yatim piatu sekelip mata ingin menuntut keadilan selepas kehilangan kedua-dua ibu bapa mereka dalam kemalangan tragis di Jalan Ampang, di sini kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.34 pagi itu, A. Doraisingam, 61, dan isterinya, A. Menagah, 56, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas motosikal dinaiki mereka dilanggar sebuah kereta.
Difahamkan, ketika kejadian, mendiang Doraisingam sedang menghantar isterinya ke tempat kerja di Hospital Gleneagles yang terletak kira-kira 50 meter dari lokasi nahas.
Anak sulung mendiang, D. Shathisuaran, 26, berkata, kehilangan tersebut memberi kesan besar kepada kehidupan mereka sekeluarga.
Shathisuaran yang bekerja sebagai juruteknik kini perlu memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga untuk menanggung dua adiknya, Pavithra, 24, dan Cheran, 19.
“Sekarang ini saya seorang bekerja dengan gaji sekitar RM2,200. Jadi, saya kena kuat untuk adik-adik saya,” jelasnya.
Dalam kejadian itu, sebuah kereta jenis Toyota Vios yang dipandu lelaki tempatan berusia 24 tahun dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar bahagian belakang motosikal jenis Honda Wave Alpha ditunggang pasangan suami isteri terbabit.
Pemandu dan penumpang hadapan berusia 23 tahun kereta terbabit mengalami kecederaan di bahagian kepala dan kini masih menerima rawatan di Zon Merah Hospital Kuala Lumpur.
Seorang lagi penumpang belakang berusia 24 tahun hanya mengalami kecederaan ringan telah dibenarkan pulang sebelum tampil membuat laporan polis bagi membantu siasatan.




