Kota Bahru, Dis-
Jenazah lelaki seberat 420 kilogram (kg), Allahyarham Sheikh Mohd Ali Omar, 44, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jaya di sini jam 10.40 malam pada Ahad.
Jenazah dikebumikan dengan bantuan sepasukan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri Kelantan, ahli keluarga dan penduduk setempat.
Jenazah Sheikh Mohd Ali sebelum itu dibawa menaiki lori lima tan milik bomba ke tanah perkuburan yang terletak sekilometer dari rumahnya di Kampung Pasir Hor, di sini.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Kelantan, Mohd Wildan Azhari berkata, kerja-kerja pengebumian berjalan lancar dengan kekuatan 20 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Tumboh, Tunjong serta Kota Bharu.
Sebelum ini, beliau berkata, pihaknya menerima permohonan daripada pihak keluarga yang mengalami kesukaran untuk menguruskan jenazah berkenaan.
Sheikh Mohd Ali menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 12 tengah hari pada Ahad.
Dia sebelumnya sempat diselamatkan oleh bomba selepas terlekat di tandas namun tidak lama selepas itu lemah dan lelah sebelum meninggal dunia.


