Kuala Lumpur,Jun –
Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menumpaskan sindiket mengemis menggunakan warga asing dan kanak- kanak di Jalan Sultan Azlan Shah menerusi Op Selamat malam tadi.
Dalam operasi itu, imigresen turut membongkar modus operandi sindiket yang memberikan ubat batuk kepada kanak-kanak berusia antara 10 bulan hingga enam tahun sebelum dibawa oleh warga asing dewasa untuk mengemis di di sekitar Jalan Chow Kit, Masjid India dan Jalan Sentul pada waktu pagi.
Taktik itu terbongkar dengan penemuan ubat batuk di premis rumah kedai yang dijadikan kediaman untuk pengemis.
Sindiket didalangi seorang warga Pakistan yang fasih berkomunikasi bahasa Melayu berjaya dilumpuhkan selepas sebuah bangunan rumah kedai empat tingkat yang menjadi markas operasi sindiket itu digempur pasukan serbuan Imigresen bermula jam 9 malam.
Bangunan rumah kedai empat tingkat itu dijadi penempatan warga asing dari Pakistan, Indonesia dan India dengan bayaran sewa bulanan sebanyak RM800 dengan dilengkapi kemudahan penghawa dingin.
MalaysiaGazette mendapati premis bangunan itu dipecahkan dan dijadikan beberapa bilik kecil untuk diduduki kira-kira lapan orang dewasa termasuk kanak-kanak.

Akses untuk menaiki kediaman tersebut turut dikawal ketat oleh sindiket berkenaan dan pengemis dipercayai perlu menyerahkan wang harian yang diperoleh terlebih dahulu kepada ketua sindiket sebelum dibenarkan naik ke bilik masing-masing yang begitu kotor.
Dalam serbuan sama, pasukan imigresen turut membongkar kegiatan sindiket pemalsuan dokumen pasport yang berselindung di sebalik perniagaan kedai dobi, alat telekomunikasi dan kedai gunting rambut itu.
Kewujudan premis perniagaan tersebut dipercayai sekadar taktik sindiket untuk mengkaburi mata pihak berkuasa mengelak kegiatan haram mereka dihidu pihak berkuasa.

Pengarah Imigresen Kuala Lumpur Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata serbuan yang berakhir kira-kira 12 tengah malam tadi itu dilaksanakan selepas menjalankan risikan selama enam bulan sejak Januari lalu.
“Kita juga berjaya menahan seramai 79 warga Pakistan terdiri daripada 44 lelaki, 22 wanita, empat kanak-kanak lelaki dan tujuh kanak-kanak perempuan yang kesemuanya berusia antara 10 bulan hingga 59 tahun.
“Kesemua mereka yang ditahan telah dibawa ke Depot Tahanan Sementara Imigresen Bukit Jalil untuk proses dokumentasi dan tindakan lanjut.


