Putrajaya, Mei-
Hospital Putrajaya (HPj) melakar sejarah apabila menerima pengiktirafan sebagai satu daripada Hospital Terbaik Dunia 2025 oleh Newsweek dan Statista.
Newsweek majalah berita mingguan berpengaruh berpangkalan di New York City, Amerika Syarikat, manakala Statista adalah syarikat teknologi maklumat dari Jerman yang menyediakan platform statistik dalam talian.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, ketika mengumumkan demikian, berkata pengiktirafan itu bukan sekadar angka atau gelaran, tetapi cerminan kepada dedikasi doktor, jururawat dan petugas perubatan yang bertungkus-lumus memberikan layanan terbaik kepada pesakit.
“Kejayaan ini milik semua pesakit yang percaya dan memberi sokongan, keluarga yang setia menemani serta masyarakat yang menghargai usaha murni wira kesihatan ini.
“Semoga Hospital Putrajaya terus menjadi lambang kecemerlangan dan inspirasi kepada seluruh institusi perubatan di tanah air,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.


