Kuala Lumpur, Apr-
Pemandu lori cedera parah selepas diterkam harimau kumbang di kepala ketika membuang air kecil, dalam kejadian di Jalan Bukit Tangga-Seremban, Negeri Sembilan, petang semalam.
Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia, Abdul Kadir Abu Hashim, berkata pihaknya menerima laporan kejadian pada 3.31 petang.
“Video berdurasi 16 saat itu menunjukkan kelibat harimau kumbang sedang berlari ke arah hutan yang bertentangan.
“Susulan itu kakitangan Jabatan Perhilitan Negeri Sembilan segera melakukan siasatan lanjut di lokasi kejadian petang tadi,” katanya.
Beliau berkata, berdasarkan laporan dikongsikan polis, mangsa adalah warga tempatan berusia 50-an dan berasal dari Bandar Bukit Tinggi, Klang.
“Hasil siasatan juga mendapati seekor harimau kumbang dipercayai keluar dari hutan berhampiran dan menerkam bahagian kepala mangsa.
“Haiwan liar itu kemudian berlari ke kawasan hutan bertentangan jalan berkenaan. Terdapat bukti tompokan darah mangsa di lokasi kejadian,” katanya.
Beliau berkata, mangsa yang dirawat di Hospital Seremban berada dalam keadaan sedar dan akan menjalani rawatan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI).


