Melaka, Dis–
Dua beradik dan seorang wanita bergelar Geng Logan yang dipercayai terbabit dalam sekurang-kurangnya 10 kes pecah rumah di daerah Melaka Tengah diberkas polis baru-baru ini .
Suspek utama berusia 33 dan kekasihnya berusia 24 tahun ditangkap pasukan Cawangan Risikan/Operasi (D4), Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah pada 15 Disember lalu.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, suspek ditahan di sebuah kedai barangan antik di Jalan Munshi sebelum tangkapan susulan dibuat ke atas adiknya berusia 29 tahun di sebuah rumah di Lorong Mangga, Pokok Mangga.
“Bertindak atas maklumat dan risikan selama beberapa bulan, seramai tiga suspek diberkas. Kita merampas pelbagai barangan dipercayai hasil kegiatan jenayah antaranya plat emas, syiling lama, telefon bimbit, komputer riba, iPad dan jam tangan,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.




