Lipis, Jun-
Selepas berjaya mencipta nama dalam negara dan di peringat Asia bagi rekod sesi senaman kardio tanpa henti paling lama, jurulatih kecergasan, K Jey Prabakaran Thevar kini menetapkan sasaran disenaraikan dalam rekod dunia.
Kurang setahun lalu, namanya tersenarai dalam Malaysia Book of Records (MBOR) dan terbaharu pada 11 Jun baru-baru ini, dalam Asia Book of Records (ABR).
Menurut anak bongsu daripada empat beradik berusia 27 tahun asal Kuala Lipis ini, misinya belum terhenti walaupun sudah mencipta rekod di peringkat domestik serta Asia dan kini menyasarkan tersenarai dalam Guinness Book of World Records.
Matlamatnya kini untuk memecahkan rekod dunia, dijangka pada September depan dan sedang menjalani persiapan rapi untuk memastikan kesihatan dalam keadaan baik bagi melalui rutin yang meletihkan.
“Untuk MBOR tahun lalu, saya berlatih rutin senaman tanpa henti selama 12 jam, diikuti 13 jam untuk ABR. Saya pasti ingin mencipta rekod peribadi baharu untuk Guinness Book of World Records.
“Saya diberitahu masih belum ada sesi latihan kardio tanpa henti dalam buku rekod dunia, jadi saya akan menetapkan standard jika berjaya menyiapkan rutin senaman ini nanti,” katanya ketika dihubungi hari ini.Menurutnya, dia tidak akan memaksa diri semasa sesi latihan kerana bimbang kecederaan boleh menjejaskan usaha mencatat rekod dunia.
“Saya selalu cedera dan telah menjalani tiga pembedahan. Doktor menggambarkan kecederaan di bahagian perut dan belakang saya sebagai kronik, tetapi saya masih berjaya mengatasi halangan untuk MBOR tahun lalu.
“Bagi ABR pula, ia awalnya dirancang pada April tahun ini, tetapi saya perlu berehat lebih lama disebabkan kecederaan bahu kanan. Rekod Asia itu berjaya dicatat pada 11 Jun lalu,” kata Jey Prabakaran yang mesra disapa Dr Kjey.
Untuk tersenarai dalam ABR, Jey Prabakaran melakukan rutin senaman berkenaan dari jam 7 pagi hingga 2 petang sebelum disambut dari jam 3 petang hingga 10 malam di sebuah jimnasium, di sini.
Pemegang ijazah kehormat dalam bidang kerja sosial dari Universiti Teologi Dayspring di Amerika Syarikat (AS) lulusan 2022 ini, berkata ibu, S Sukunamalar, 66, dan adik-beradik menjadi motivasi terbesar baginya.- BH


