Shah Alam, Mac-
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kawasan Dataran Merdeka sehingga Carcosa Seri Negara akan dijadikan Tapak Warisan Kuala Lumpur.
Perdana Menteri berkata, Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sudah menerangkan mengenai kawasan berkenaan kepada Kabinet semasa mesyuarat Jemaah Menteri semalam.
“Pagi tadi (semalam) Jemaah Menteri meminta Khazanah dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerangkan mengenai seluruh kawasan bermula dari Dataran Merdeka, Bangunan Sultan Abdul Samad, Keretapi Tanah Melayu sehingga Carcosa Seri Negara untuk dijadikan keseluruhan tapak Warisan Kuala Lumpur.
“Perlu diingat, kali pertama dalam sejarah, peruntukan bermula dengan angka RM1 bilion yang diusahakan oleh Khazanah untuk kita kekalkan satu Warisan Kuala Lumpur,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Cabang, Wanita, Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor di sini, malam tadi.


