Kuaka Lumpur, Julai-
Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun cedera digigit seekor anjing di kawasan perumahan Lake Edge, Puchong, pagi kelmarin.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 8.10 pagi ketika mangsa berjalan pulang ke rumah bersama neneknya selepas bermain di taman permainan berhampiran.
Menurutnya, anjing jenis kacukan German Shepherd itu keluar sendiri dari rumah pemiliknya sebelum menyerang dan menggigit betis kiri mangsa sehingga mangsa mengalami kecederaan serius.
“Siasatan lanjut mendapati pemilik anjing, seorang wanita tempatan berusia 60 tahun, tidak memiliki lesen anjing sah daripada pihak berkuasa tempatan.
“Berikutan itu, wanita terbabit ditahan semalam untuk membantu siasatan dan polis masih menjalankan siasatan lanjut terhadap insiden berkenaan,” katanya melalui kenyataan, hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 289 Kanun Keseksaan kerana cuai mengawal haiwan peliharaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Muhamad Farid berkata pemilik haiwan peliharaan bertanggungjawab memastikan haiwan mereka dikawal dan tidak mendatangkan bahaya kepada orang awam.
“IPD Serdang menasihatkan orang ramai lebih bertanggungjawab dalam menjaga haiwan peliharaan masing-masing bagi mengelak kejadian tidak diingini.