Kajang, Julai-
Dua kanak-kanak lelaki berusia tiga dan enam tahun ditemui di tepi jalan tanpa pengawasan orang dewasa, selepas dipercayai keluar dari rumah ketika pengasuh sedang tidur, semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof, berkata hasil siasatan awal mendapati orang awam menjumpai dua kanak-kanak warga tempatan itu dalam keadaan baik di tepi jalan berhampiran Bandar Bukit Mahkota sebelum membawa mereka ke Balai Polis Bangi sekitar jam 11.57 pagi untuk tindakan lanjut.
“Kira-kira jam 2 petang, ibu bapa kanak-kanak terbabit dapat dihubungi. Mereka kemudian hadir ke balai polis dan kanak-kanak berkenaan diserahkan semula kepada ibu bapa dengan selamat.
“Hasil siasatan lanjut mendapati dua kanak-kanak itu keluar dari rumah pengasuh tanpa pengetahuan ketika pengasuh sedang tidur, sebelum orang awam menemui mereka di tepi jalan kawasan berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan.
Sesiapa yang ada maklumat berhubung insiden itu boleh ke balai polis berhampiran atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat, Inspektor Nor Farahin Mohd Yatim, melalui talian 017-3987188 bagi membantu siasatan.




