Batu Pahat, Jun-
Kemalangan mengorbankan empat termasuk tiga wanita warga Vietnam di Kilometer 123.6 Lebuhraya Utara-Selatan, arah selatan dekat Yong Peng berpunca apabila BMW dinaiki mangsa merempuh treler rosak di tengah lebuh raya.
Pemangku Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani, berkata sebelum kejadian treler dipandu lelaki berusia 26 tahun mengalami kerosakan sebelum terhenti di tengah-tengah lebuh raya terbabit.
Beliau berkata, ketika itu pemandunya mahu mengalihkan kenderaan berat terbabit namun BMW dinaiki empat mangsa datang dari arah belakang gagal mengelak lalu merempuhnya.
“Siasatan awal mendapati BMW itu dipandu lelaki tempatan berusia 47 tahun bersama tiga penumpang warga Vietnam berusia 19 hingga 32 tahun.
“Tiga daripada mereka termasuk pemandu maut di lokasi manakala seorang lagi meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI).
“Kemalangan berlaku 9.15 malam di mana semua mangsa dari arah Semenyih, Selangor dalam perjalanan ke Kulai,” katanya menerusi kenyataan hari ini.


