Seberang Perai, April –
Usaha memupuk kesedaran dan integriti dalam kalangan pelajar terus diperkasa menerusi Program Wira Anti Rasuah anjuran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang telah dilaksanakan sejak 2014.
Pengarah Kanan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), Datuk S. Karunanithy berkata, program itu bertujuan mendidik generasi muda mengenai bahaya rasuah serta membentuk mereka menjadi agen pencegahan sejak di bangku sekolah.

“Program ini dilaksanakan secara tahunan di setiap negeri dengan pemilihan sekolah dibuat secara berperingkat.
“Program ini bertujuan mendidik anak-anak kita dari kecil lagi berkaitan rasuah dan pencegahan supaya mereka menjadi wira dalam usaha-usaha mencegah rasuah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Wira Anti Rasuah (WAR) Peringkat Negeri Pulau Pinang di Sekolah Kebangsaan St. Mark di sini, hari ini.




