Subang Jaya, Apr-
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, tiba pada jam 9.40 pagi tadi bagi melawat lokasi kejadian letupan paip gas bawah tanah di Putra Heights.
Baginda yang memandu sendiri kereta Proton Satria Neo RS kemudian diberikan taklimat dan penerangan berhubung situasi pada hari kejadian letupan berlaku serta perkembangan semasa mengenai penduduk terjejas.
Terdahulu, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah, tiba di lokasi pada jam 9.25 pagi disambut Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari; Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay; Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dan barisan EXCO Kerajaan Selangor.
Sejurus selepas sesi taklimat yang diadakan di sebuah khemah dijadikan pusat kawalan Polis Diraja Malaysia (PDRM), baginda akan dibawa meninjau lokasi kejadian paip pecah yang berlaku pada 1 April lalu.
Turut kelihatan berada di lokasi adalah sekumpulan penduduk yang mendiami kawasan terjejas di Putra Heights yang berada di kawasan hadapan khemah PDRM bagi menunggu kedatangan baginda sejak jam 8 pagi tadi.


