Ipoh, Jan-
Dua guru tadika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas dakwaan bersama mengabaikan seorang kanak-kanak di bawah jagaan mereka sehingga menyebabkan mangsa mati lemas pada April 2023.
S. P. Esther Christina, 60, dan M. Manisah, 29, mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan bersama itu dibacakan di hadapan Hakim Azizah Ahmad.

Berdasarkan pertuduhan, dua wanita terbabit didakwa secara bersama sebagai orang yang pada masa itu mempunyai pemeliharaan terhadap seorang kanak-kanak lelaki, V. Thanes Nair yang ketika kejadian berumur empat tahun dua bulan 20 hari, didapati meninggalkan kanak-kanak itu tanpa mengadakan persediaan bagi pengawasan dan pemeliharaan berpatutan.
Perbuatan itu dilakukan dua tertuduh berkenaan di sebuah tadika di Bandar Baru Sri Klebang, Chemor, di sini, kira-kira jam 10.07 pagi, 17 April 2023.

Tertuduh juga berdepan hukuman tambahan iaitu melaksanakan khidmat masyarakat yang tidak kurang daripada tempoh 36 jam dan tidak melebihi 240 jam secara agregat dan hendaklah dilaksanakan dalam tempoh tidak melebihi enam bulan dari tarikh perintah itu dan hendaklah juga tertakluk kepada apa-apa syarat yang dinyatakan oleh mahkamah.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Nazreen Zabarudin manakala tertuduh diwakili peguam, Gary Xavier dan Jason Anthony.
Mohamad Nazreen menawarkan jaminan RM15,000 dengan sorang penjamin bagi setiap tertuduh, sebelum peguam meminta jaminan dikurangkan kepada RM2,500 seorang.


