Kuala Lumpur, Okt-
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dinamakan sebagai tokoh Muslim paling berpengaruh ke-10 dalam edisi 2026 buku The World’s 500 Most Influential Muslims, yang diterbitkan oleh Pusat Kajian Strategik Diraja Islam (RISSC), Jordan.
Kenaikan Anwar ke tangga ke-10 daripada kedudukan ke-15 tahun lalu (2025) dalam kategori sama mencerminkan pengiktirafan antarabangsa terhadap kepimpinannya serta kedudukan Malaysia di peringkat global.
Dalam penerbitan buku berkenaan, Anwar disenaraikan antara 50 tokoh Muslim paling berpengaruh di dunia, bersama-sama tokoh lain seperti Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani yang menduduki tempat pertama, Raja Arab Saudi, Raja Salman bin Abdul-Aziz Al-Saud (kelapan) dan Presiden Indonesia Prabowo Subianto (15).
RISSC turut mencatatkan bahawa Anwar berada di tangga ketujuh dalam kategori pemimpin Islam dan ahli politik paling berpengaruh di dunia, naik daripada tempat kesembilan tahun lepas, mengatasi Prabowo (10) dan Presiden Mesir Abdel Fattah Saeed Al-Sisi (13).
Penilaian ini dibuat berdasarkan pengaruh tokoh Muslim, yang didefinisikan sebagai kemampuan untuk membawa perubahan ketara dalam dunia Islam atau dalam kalangan umat Islam sama ada dari aspek budaya, ideologi, kewangan, politik atau bidang lain, dengan impak dilihat sebagai positif atau negatif bergantung perspektif.




