Kuala Lumpur, Julai-
Bekas menteri ekonomi, Rafizi Ramli, berkata beliau sebenarnya lebih berminat untuk menjadi menteri pendidikan, kerana menganggap portfolio itu sebagai yang paling penting untuk melakukan reformasi negara.
“Sekiranya ada peluang, saya tak kisah sekiranya jadi menteri pendidikan, cuma mungkin ada orang tak suka,” katanya dalam episod terbaru audio siar Yang Berhenti Menteri semalam.
Ahli Parlimen Pandan itu berkata, pendidikan ialah asas kepada perubahan jangka panjang negara, khususnya dalam menghapuskan budaya rasuah, dan reformasi institusi semata-mata tidak mencukupi.
“Ya, ia sebenarnya bermula dengan pendidikan. Sebab itu saya selalu kritik Fadhlina Sidek (menteri pendidikan),” katanya.
“Budaya itu contohnya, jika kita ajar mereka (kanak-kanak) ada model berbeza untuk kejayaan.
“Lebih baik hidup jadi orang biasa yang amanah, ada sivik daripada jadi menteri tetapi dia rompak kiri dan kanan.”




