Kuala Lumpur, Jun-
Tokoh pendidikan masyarakat India, yang juga pengasas Sri Murugan Centre (SMC) Tan Sri M. Thambirajah meninggal dunia dalam tidur pada Isnin.
Beliau dikenali atas usaha memperkasa pendidikan pelajar India B40 melalui penubuhan Sri Murugan Centre (SMC) sejak 1982.

Berita pemergian mendiang yang berusia 83 tahun itu dikongsi dalam satu kenyataan di Facebook SMC.
Mendiang terkenal dengan komitmen luar biasa dalam memperkasa pendidikan dalam kalangan pelajar India terutamnya golongan B40 sejak lebih empat dekad lalu.
Mendiang yang dilahirkan pada 1942 itu memulakan misinya dengan bantuan 42 graduan Universiti Malaya (UM) yang bersama-sama merealisasikan visi beliau, menyediakan kelas tuisyen dan bimbingan untuk pelajar India yang kurang berkemampuan diri, termasuk mewajibkan pemakaian tali leher sebagai simbol kejayaan akademik..
SMC yang ditubuhkan pada 1982 telah membantu lebih 300,000 pelajar mengikuti program pendidikan di bawah pusat itu, menjadikannya antara inisiatif pendidikan masyarakat paling berimpak di negara ini.
Selain akademik, SMC juga dikenali sebagai pusat yang membina keyakinan diri dalam kalangan pelajar dari pelbagai peringkat.
Di bawah kepimpinan mendiang, pelajar diwajibkan memakai tali leher sebagai simbol disiplin dan keyakinan, mencerminkan kepercayaan beliau bahawa penampilan memainkan peranan penting dalam kejayaan akademik.

Thambirajah memulakan karier sebagai guru terlatih Kirby sebelum melanjutkan pelajaran dalam bidang Sejarah Rusia di Washington University, Amerika Syarikat.
Beliau kemudiannya menyambung pengajian dalam bidang undang-undang, diterima masuk ke Badan Peguam Malaysia dan menubuhkan firma guamannya sendiri selepas bersara sebagai pensyarah universiti.
Mendiang meninggalkan isteri, Puan Sri A Indrani, dua anak Dr Sumitra dan Anand selain dua cucu.
Orang ramai boleh memberikan penghormatan terakhir di SMC Ashramam, Petaling Jaya pada hari Selasa, manakala upacara akhir akan diadakan di Nirwana Memorial Park Shah Alam pada pukul 3 petang.
Orang ramai yang ingin memberikan penghormatan terakhir boleh berbuat demikian di SMC Ashram,No. 40, Jalan Bukit 11/2, Petaling Jaya, dekat sini bermula pukul 10 pagi hingga 2 petang, Selasa.




