Shah Alam, Mac-
Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Selangor melupuskan kira-kira 14,000 ekor babi dipercayai dijangkiti penyakit Demam Babi Afrika (ASF) secara eutanasia setakat ini.
Pengarah DVS Selangor, Dr Hassuzana Khalil berkata, pelupusan ternakan berkenaan menggunakan gas karbon dioksida dan ditanam di kawasan ladang babi mengikut kaedah yang telah ditetapkan.
Beliau berkata, sehingga kini sebanyak 58 ladang meliputi daerah Sepang dan Kuala Langat telah merekodkan ASF dan diberikan perintah di bawah Seksyen 19 Akta Binatang 1953 (Akta 647) untuk pelupusan sebagai langkah kawalan perebakan penyakit.
Prosedur pelupusan babi di ladang positif melibatkan kos yang tinggi dan anggota petugas yang ramai membabitkan kerjasama daripada DVS negeri lain dan Ibu Pejabat Perkhidmatan Veterinar Putrajaya,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Izham Hashim pada sidang media semalam memaklumkan, kira-kira 76,000 ekor babi yang dijangkiti ASF di 57 ladang di sekitar Kuala Langat dan Sepang telah selesai dilupuskan DVS minggu lepas.


