Kuala Lumpur, Mac-
Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail menolak rayuan Urimai mendaftar sebagai parti politik, kata Pengerusinya, P. Ramasamy.
Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM) memaklumkan Urimai, permohonannya ditolak pada 4 Julai 2024.
Pada 27 Feb lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan parti itu memulakan prosiding semakan kehakiman terhadap keputusan kerajaan.
“Mengikut proses wajar, kami mengemukakan rayuan kepada menteri, tetapi penolakannya dibuat sebelum perbicaraan mahkamah dapat diteruskan.
“Dalam surat bertarikh 7 Mac, seorang pegawai dari kementerian menyampaikan keputusan menteri tanpa memberi sebarang alasan atas penolakan itu,” kata Ramasamy dalam kenyataan.
Bekas timbalan ketua menteri Pulau Pinang itu berkata, penolakan pendaftaran Urimai perlu sejajar peruntukan Perlembagaan yang menjamin hak menubuhkan persatuan dan parti politik.
“Walaupun penolakan itu tidak mengejutkan, ternyata pengaruh politik Urimai yang semakin meningkat tidak menyenangkan kerajaan semasa.”
Peguam Urimai, Shamsher Singh Thind memberitahu FMT, pasukannya akan memfailkan notis kepada mahkamah hari ini untuk meminda pernyataan dan permohonan semakan kehakiman parti itu berdasarkan perkembangan terkini.