Kuala Lumpur, Mac-
Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih menunggu arahan lanjut Pejabat Peguam Negara (AGC) berhubung kes membabitkan pendakwah bebas, Zamri Vinoth yang didakwa menghina agama Hindu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata setakat ini sebanyak 894 laporan polis diterima di seluruh negara terhadap pendakwah itu.
“Percakapan Zamri Vinoth sudah dirakam dan kertas siasatan masih dalam kajian pihak AGC. Setakat ini, belum ada arahan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Sebelum ini, Razarudin dilapor berkata, siasatan terhadap Zamri Vinoth dijalankan mengikut Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Mengenai siasatan kes dakwaan menghina agama Hindu oleh tiga penyampai (DJ) radio Era FM, Razarudin berkata, kertas siasatan berhubung kes itu masih pada peringkat kajian pihak AGC.
“Setakat ini, kes itu juga belum ada arahan lanjut” katanya.