Kuala Lumpur, Mac-
Pelajar yang didapati melakukan kesalahan berulang menghisap vape atau rokok elektronik di sekolah, boleh digantung persekolahan selama 14 hari atau dibuang sekolah.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata tindakan disiplin itu adalah bentuk ketegasan diambil Kementerian Pendidikan (KPM) bagi membendung isu penggunaan vape di sekolah seperti ditetapkan menerusi Surat Siaran Bilangan 17 Tahun 2015 yang melarang penggunaan rokok elektronik atau vape di sekolah
Beliau berkata, tindakan tegas itu diambil selepas amaran diberikan kepada pelajar berkenaan, termasuk memanggil ibu bapa mereka bagi menghadiri sesi konsultasi.
“Harus ada amaran dan mereka akan dipanggil, ibu bapanya juga untuk konsultasi. Kemudian dia kena melengkapkan borang aku janji untuk tidak melakukan kesalahan ini lagi.Kemudian sekiranya mereka masih ingkar dan mengulangi perbuatan ini, maka dia boleh digantung sekolah selama 14 hari persekolahan yang tidak membabitkan peperiksaan awam dan ketegasan kita adalah sehingga tahap mereka juga boleh dibuang sekolah.
“Kita menganggap tindakan melibatkan diri dengan gejala vape ini adalah satu yang sangat serius,” katanya menjawab soalan Senator Datuk Dr Azhar Ahmad pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.


