Kuantan, Mac-
Kebakaran kawasan ladang kelapa di belakang Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan (MCKIP) Gebeng di sini sejak 22 Februari lalu, meningkat kepada 130 hektar hari ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Razam Taja Rahim berkata, kebakaran kembali merebak sejak kelmarin, susulan daripada angin kencang dan cuaca panas di kawasan terbabit.
Katanya, ketiadaan hujan di kawasan terbabit menambah lagi kesukaran dalam operasi pemadaman yang turut membabitkan pengeboman air yang dilakukan dengan menggunakan sebuah helikopter.
“Sebenarnya, kebakaran sudah terkawal dan hampir padam Jumaat lalu namun angin kencang pada Sabtu dan kelmarin menyebabkan kebakaran kembali merebak.
“Setakat ini, seluas 91.9 hektar berjaya dipadamkan manakala baki 78.6 hektar sedang diusahakan.
“Pada masa sama, kita menangguhkan operasi pemadaman pada waktu malam untuk mengelakkan risiko kemalangan. Beliau berkata, lebih 70 anggota daripada 11 Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) di zon satu terbabit dalam operasi pemadaman katanya.


