Kuala Lumpur, Feb-
Kepelbagaian kaum, budaya dan agama di Malaysia bukan satu kelemahan, sebaliknya merupakan kekuatan yang mampu memperkukuhkan negara, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata Malaysia adalah antara negara unik berikutan rakyatnya boleh menguasai pelbagai bahasa termasuk Bahasa Melayu, Inggeris, Cina, Tamil, serta bahasa suku kaum.
“Perbezaan warna kulit, keyakinan agama dan budaya boleh digunakan untuk menanam kebencian, tetapi kita memilih untuk melihatnya sebagai kekuatan yang menambah mutu kesatuan negara.
“Seni dan budaya Malaysia yang pelbagai turut menjadi daya tarikan di peringkat antarabangsa.
“Baru-baru ini, ramai pemimpin dunia yang melawat Malaysia menyatakan rasa kagum dengan keunikan budaya negara kita.
“Ini adalah bukti bahawa kepelbagaian kita adalah keistimewaan, bukan penghalang,” katanya ketika berucap pada Majlis Memperingati Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj di Memorial Tunku Abdul Rahman, di sini, petang tadi.
Anwar turut menegaskan bahawa negara perlu terus berpegang kepada prinsip asas yang diasaskan oleh pemimpin terdahulu bagi memastikan Malaysia kekal sebagai sebuah negara yang bersatu dan makmur.
“Semangat kesatuan dalam kepelbagaian merupakan tunjang utama kepada kemajuan dan kestabilan negara.
“Kita tidak boleh mengabaikan fakta bahawa asas negara ini dibina atas semangat kesatuan. Malaysia akan terus maju jika kita menghargai dan mempertahankan perpaduan ini,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar menyeru generasi muda agar memahami dan menghargai perjuangan pemimpin terdahulu seperti Tunku Abdul Rahman dalam membina Malaysia yang bersatu.