Bukit Jalil, Julai-
Kerajaan sentiasa berusaha untuk meningkatkan akses dan kualiti pendidikan negara serta memastikan sistem kuota bumiputera dan prinsip meritokrasi untuk manfaat semua pelajar terpelihara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, semua anak muda termasuk mereka yang berada di kawasan pedalaman wajar diberikan ruang untuk meneroka pelbagai sektor pekerjaan.
“Jika kerajaan, sektor swasta, pimpinan dan penjawat awam beri ruang dan kesempatan, saya percaya generasi muda tidak akan sia-siakan.
“Apa yang perlu ialah peluang lebih adil dan meluas. Apabila Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) dan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) melebar jaringan dari Kuala Lumpur ke Kapit dan seluruh daerah termasuk pedalaman.
“Ia bermakna memberikan ruang mengangkat martabat serta kesempatan kepada seluruh rakyat tanpa mengira kaum, kawasan dan seluruh pelusuk negara kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Kemuncak dan Penutup Minggu Latihan Kebangsaan ‘National Training Week’ (NTW) 2024 di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Ahad.
Dalam pada itu, ujar Anwar, kerajaan memutuskan bahawa semua pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang berjaya memperoleh keputusan 10A dan ke atas bakal diberikan ruang untuk melanjutkan pelajaran di peringkat matrikulasi.
Menurut beliau, keputusan hasil perbincangan mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat lalu itu bertujuan memastikan semua pelajar cemerlang tanpa mengira kaum diberi peluang sama adil dalam mendapat pendidikan lebih tinggi.
“Kalau ada anak-anak yang mencatat kejayaan 10A atau lebih untuk semua aliran sekolah di negara kita, maka keputusan kita tanpa kecuali mereka dari pelbagai kaum dan wilayah harus diberi jaminan tempat oleh kerajaan.
“Saya tidak mahu meneruskan ini sebagai isu kaum lagi. Cuma saya tekankan ini keputusan yang berani,” ujarnya.


