Pontian, Mei-
Seorang wanita warga emas yang dilaporkan hilang ketika melalui kawasan kebun kelapa sawit di Kampung Medan Sari di sini sejak Selasa lalu ditemukan selamat selepas lebih dua hari operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pontian, Pegawai Bomba Kanan II (PBK II) Mohd Khairul Anwar Ab Ghani berkata, mangsa, Nathiah Selamat, 77, ditemukan oleh penduduk kampung kira-kira jam 10.50 pagi pada Khamis.
Menurutnya, warga emas terbabit ditemui pada jarak kira-kira 2.4 kilometer dari Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) sebelum dihantar ke Hospital Pontian bagi mendapatkan pemeriksaan lanjut.
“Mangsa dipercayai hilang ketika dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Sri Bunian sekitar jam 11 pagi melalui kawasan kebun kelapa sawit pada Selasa.
“Operasi SAR dijalankan sebaik pasukan bomba tiba di lokasi dengan pencarian dibahagikan kepada dua sektor di sekitar kawasan kebun kelapa sawit.
“Operasi kemudian diteruskan pada Rabu dengan bantuan Unit K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang menggunakan anjing pengesan bagi menjejaki lokasi mangsa,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Mohd Khairul berkata, pencarian dilakukan dalam radius dua kilometer ke arah selatan Jalan Parit Haji Yusof sehingga ke PKTK sebelum diteruskan ke arah utara kawasan berkenaan.




