Kuantan, Feb-
Seorang anggota tentera yang mengikuti kursus di Rejimen Pertama, Kor Armor Diraja, Kem Batu 10, di sini meninggal dunia semalam, selepas mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, berkata Truper K. Indiran, 22, ditemukan tidak sedarkan diri Rabu lalu di kem terbabit dan dikejarkan ke HTAA untuk rawatan lanjut.
Beliau berkata anggota terbabit dilaporkan meninggal dunia kira-kira jam 4 petang semalam.
Katanya, proses bedah siasat terhadap mayat anggota terbabit dilakukan di Jabatan Perubatan Foresik hospital berkenaan pagi ini.
“Sehingga kini punca kematian belum dapat dipastikan dan polis sedang menunggu laporan kimia,” katanya.
Yahaya berkata, ketika ini kes kematian itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
Sebelum ini tular di media sosial, mendakwa kematian anggota berkenaan dikaitkan dengan kes buli.
Indiran adalah anak bekas juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Mejor C. Kayamboo, yang terbunuh akibat nahas pesawat jenis Beechraft B200T di Pangkalan Udara Butterworth, Pulau Pinang pada 2016.
Ibunya, S Usha, 52, serta ahli keluarga terdekat berada di Jabatan Perubatan Forensik, HTAA, ketika proses bedah siasat dijalankan.




