Shah Alam, Apr-
Seramai 60,000 pekerja syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) melibatkan industri eksport atau pasaran Amerika Syarikat (AS) dijangka berisiko kehilangan pekerjaan susulan pelaksanaan tarif balas yang diumumkan Presiden Donald Trump.
Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata, anggaran itu berdasarkan jumlah PKS yang kini mencecah 1.2 juta, merangkumi 98 peratus daripada keseluruhan syarikat berdaftar di negara ini.
Ujar beliau, daripada jumlah tersebut, sekitar 20 peratus atau 240,000 syarikat terlibat dalam aktiviti eksport.
“Lima peratus daripada angka berkenaan, bersamaan 12,000 syarikat bergantung kepada pasaran eksport ke AS.“
Sekiranya 20 peratus daripada mereka kehilangan pekerjaan susulan penurunan permintaan, jumlah pekerja terjejas dianggarkan mencecah 60,000 orang,” katanya kepada Sinar Harian.
Bagaimanapun menurut Syed Hussain, kesan sebenar terhadap pasaran buruh masih bergantung kepada beberapa faktor termasuk dasar kerajaan, insentif eksport dan usaha mencari pasaran alternatif seperti ASEAN, China, BRICS serta negara anggota Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).


