Teluk Intan, Mac-
Polis menahan 13 pekerja kilang warga Nepal kerana cuba mencetuskan rusuhan selepas seorang rakan mereka maut dalam kemalangan langgar lari di Batu 8, Jalan Changkat Jong, di sini, pada Jumaat malam.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal dalam kenyataannya berkata, kesemua mereka ditahan bagi membantu siasatan dibawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan.
Menurutnya, sekitar jam 9.35 malam tadi, Bilik Gerakan Daerah Hilir Perak telah terima panggilan mengenai satu kejadian kemalangan maut langgar lari melibatkan seorang pejalan kaki warganegara Nepal di Batu 8 Jalan Changkat Jong, Teluk Intan.
Ekoran kejadian itu, kira-kira 1,000 pekerja sebuah kilang turun ke tempat kejadian dan berkumpul di jalan raya sehingga menghalang lalu lintas.
Mengulas lanjut, Bakri berkata, pihak polis telah digerakkan bagi menenangkan dan mengawal situasi.