Kuala Lumpur, Okt-
Hujan lebat berterusan di utara Semenanjung menyebabkan keadaan banjir di Perak, Kedah dan Pulau Pinang bertambah memburuk dengan jumlah mangsa yang dipindahkan di pusat pemindahan sementara terus meningkat kepada 4,743 orang malam ini, berbanding 4,252 orang petang tadi.
Di Perak, jumlah mangsa banjir yang melanda empat daerah terus meningkat kepada 2,806 orang melibatkan 955 keluarga setakat 8 malam ini berbanding 2,496 orang melibatkan 857 keluarga petang tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak memaklumkan satu lagi PPS dibuka di Manjung iaitu di SK Pantai Remis menjadikan keseluruhan 25 PPS sedang beroperasi di Larut Matang dan Selama, Manjung, Kerian dan Perak Tengah.
Di Pulau Pinang, sebanyak tujuh PPS dibuka dengan 928 orang daripada 252 keluarga ditempatkan sehingga 8 malam ini dan jumlah itu meningkat berbanding 749 mangsa daripada 225 keluarga ditempatkan di lapan PPS petang tadi.
Menurut laman web info bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), dua daripada empat PPS di Seberang Perai Tengah (SPT) ditutup 7 malam tadi iaitu Dewan Banjir Guar Jering dan Sekolah Rendah Islam Maahad At Tarbiah Guar Jering, manakala dua lagi masih beroperasi iaitu SK Guar Perahu dan SMK Permatang Pasir.




