Nibong Tebal, Ogos-
Seorang pekerja syarikat subkontraktor maut terjatuh dari bumbung setinggi 9.14 meter ketika menjalankan kerja-kerja pembersihan panel solar di sebuah kilang, di Nibong Tebal .
Pejabat Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang dalam kenyataan hari ini, memaklumkan sekitar jam 12.15 tengah hari semalam itu membabitkan lelaki tempatan berusia 21 tahun yang disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan dari Hospital Sungai Bakap (HSB).
“Susulan kematian mangsa, JKKP Pulau Pinang mengeluarkan notis kepada pihak-pihak terlibat serta mengarahkan aktiviti-aktiviti kerja dihentikan sehingga tindakan pembetulan dibuat. JKKP negeri juga akan menjalankan siasatan lanjut di lokasi kejadian berhubung insiden ini.
“Tindakan perundangan akan diambil sekiranya berlaku perlanggaran undang-undang oleh pihak-pihak yang terlibat,” katanya menambah setiap majikan dan kontraktor bertanggungjawab sepenuhnya memastikan sistem kerja selamat disediakan, dinilai dan dipatuhi sebelum pekerja diarah menjalankan kerja berisiko tinggi.



