Kuala Lumpur, Julai-
Pelakon legenda India , B Saroja Devi, yang menghembuskan nafas terakhir pada usia 87 tahun di kediamannya di Malleswaram, Bengaluru akibat komplikasi sakit tua.
Memetik portal tempatan, India Today, mendiang tidak sedarkan diri kira-kira pukul 9 pagi, sebelum dikejarkan ke hospital, namun disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan.
Dilahirkan pada 7 Januari 1938 di Bengaluru, Saroja Devi merupakan anak keempat kepada Bhairappa, seorang pegawai polis dan Rudramma, seorang suri rumah.
Suaminya, Sri Harsha, meninggal dunia pada 1986. Penampilan terakhir mendiang di layar perak adalah menerusi filem Nathasaarvabhowma pada tahun 2019.
Dikenali dengan gelaran ‘Abhinaya Saraswathi’ dan ‘Kannadathu Paingili’ mendiang dianggap sebagai ikon sinema India Selatan dengan kerjaya luar biasa yang merentasi lebih tujuh dekad.
Sepanjang hayatnya, beliau membintangi lebih 200 filem dalam empat bahasa utama iaitu Tamil, Kannada, Telugu dan Hindi, yang menjadikan beliau sebagai aktres pertama Kannada yang digelar Chaturbhasha Taare (bintang empat bahasa).
Kemunculan pertamanya di layar perak bermula seawal usia 17 tahun menerusi filem Kannada, Mahakavi Kalidasa pada tahun 1955.

Beliau kemudiannya melonjak ke arus perdana menerusi filem Tamil, Nadodi Mannan (1958) arahan dan lakonan legenda M.G Ramachandran atau lebih dikenali Makkal Thilagam MGR, menjadikan beliau bintang sensasi dalam industri Tamil.
Antara karya klasik yang memperkukuhkan legasi Saroja Devi dalam sinema Tamil termasuk Palum Pazhamum, Vazhkai Vazhvatharke (1964), Aalayamani (1962), Periya Idathu Penn (1963), Puthiya Paravai (1964), Panakkara Kudumbam (1964), Enga Veetu Pillai (1965) dan Anbe Vaa (1966).
Mendiang berlakon dalam lebih 20 filem bersama MGR dan turut dikenang menerusi kolaborasi bersama Sivaji Ganesan dalam filem Bhaaga Pirivinai (1959).
Dalam dunia perfileman Telugu pula, Saroja Devi bergandingan dengan bintang legenda N.T. Rama Rao dalam karya seperti Seetarama Kalyanam (1961), Jagadeka Veeruni Katha (1961) dan Daagudu Moothalu (1964).

Kariernya turut menjangkau ke Bollywood apabila beliau berlakon bersama aktor hebat seperti Dilip Kumar (Paigham, 1959), Rajendra Kumar (Sasural, 1961) dan Sunil Dutt (Beti Bete, 1964).
Pengiktirafan terhadap sumbangan beliau dalam seni lakon turut dizahirkan melalui penganugerahan Padma Shri pada tahun 1969 dan Padma Bhushan (1992) oleh kerajaan India.
Pada 2008, beliau menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat oleh Kerajaan India.




