Kuala Lumpur, Jukai- Model kereta nasional pertama negara iaitu Proton Saga pada Rabu genap 40 tahun sejak diperkenalkan secara rasmi pada 9 Julai 1985.
Selama empat dekad, kenderaan ikonik itu kekal menjadi simbol mobiliti mampu milik dan terus mencorak kehidupan seharian rakyat pelbagai lapisan.
Dilancarkan oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad, Proton Saga merupakan manifestasi usaha kerajaan dalam membangunkan industri automotif tempatan melalui penubuhan syarikat Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (PROTON).
Model tersebut dibangunkan hasil kerjasama teknikal dengan Mitsubishi Motors Corporation dari Jepun.
Proton Saga bukan sahaja menjadi titik tolak kepada perkembangan industri berat di Malaysia malah menjadi pilihan utama rakyat sebagai kenderaan pertama mereka.
Dengan reka bentuk ringkas, kos penyelenggaraan rendah dan harga mampu milik, ia segera mencuri hati pengguna seluruh negara.
Sejak pengeluaran awalnya, Proton Saga telah melalui beberapa fasa transformasi melibatkan tiga generasi utama, bermula dengan model asal enjin karburetor, kemudian model Iswara, seterusnya versi facelift dan model generasi baharu dengan teknologi enjin VVT yang lebih moden.
Sepanjang 40 tahun berada di pasaran, lebih empat juta unit Proton Saga telah terjual di dalam dan luar negara.
Ia kekal menjadi antara model paling laris keluaran Proton dan menyumbang besar kepada jenama automotif itu mengekalkan kedudukannya dalam pasaran domestik.




