Johor Baharu, Jun-
Bapa tujuh anak yang tidak bekerja didenda RM13,000 oleh dua Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas tuduhan melakukan khianat dengan melanggar sebuah Perodua Axia dan memandu kenderaan sehingga mendatangkan bahaya kepada pengguna lain di Jalan Tun Razak, Ahad lalu.
Muhammad Firdaus Abdullah, 50, dijatuhkan hukuman itu selepas mengaku bersalah sebaik dua pertuduhan itu dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Atifah Hazimah Wahab dan Majistret Nur Fatin Mohamad Farid.
Tertuduh turut diperintahkan penjara selama 18 bulan jika gagal membayar denda berkenaan, selain lesen memandunya diendors oleh mahkamah.
Di hadapan Atifah Hazimah, lelaki itu didakwa melakukan khianat dengan melanggar Perodua Axia berwarna hitam milik seorang lelaki yang menyebabkan kerugian melebihi RM25 iaitu RM15,300.




