Kuala Lumpur, Jun-
Bukit Aman mengumumkan kenaikan pangkat beberapa pegawai kanan, termasuk empat ketua polis negeri berkuat kuasa 21 Julai ini.
Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan dilantik pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman.
Beliau yang mengetuai Kontinjen Selangor sejak Mac 2023 menggantikan Khaw Kok Chin yang bersara Mac lalu.Ketua Polis Kuala Lumpur, Rusdi Mohd Isa pula dilantik pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman menggantikan Ramli Yoosuf yang juga bersara Mac lalu.
Ketua Polis Pulau Pinang, Hamzah Ahmad diberi tanggungjawab sebagai pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard, manakala Ketua Polis Kedah, Fisol Salleh dilantik timbalan pengarah (Gerakan/Operasi) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam.
Majlis Serah Terima Tugas dan Paluan Undur Ketua Polis Negara akan berlangsung di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur pada 2.15 petang ini.
Ketua Polis Negara, Razarudin Husain akan menamatkan kontraknya 22 Jun ini, selepas dua tahun menerajui pasukan polis.
Majlis itu dijangka dihadiri Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail.
Pelantikan ketua polis negara merupakan prerogatif Yang di-Pertuan Agong atas nasihat perdana menteri seperti diperuntukkan di bawah Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan.
Untuk rekod, Razarudin dilantik ketua polis negara ke-14 selama dua tahun secara kontrak selepas bersara 23 Jun 2023 bagi menggantikan Acryl Sani Abdullah Sani.




